Tidaklah Kuciptakan jin dan manusia kecuali supaya mereka beribadah kepada-Ku. (QS. Adz-Dzariyat: 56)

Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam Memberi Makan 1000 Orang


Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah katanya: Semasa parit Khandak digali, saya melihat keadaan Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam dalam keadaan sangat lapar. Maka sayapun segera kembali ke rumahku dan bertanya kepada isteriku, apakah engkau mempunyai sesuatu (makanan)? Kerana saya melihat Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam tersangat lapar.

Isteriku mengeluarkan sebuah kantung yang berisi satu cupak gandum, dan kami mempunyai seekor anak kambing dan beberapa ekor ayam. Saya lalu menyembelihnya, manakala isteriku menumbuk gandum. Kami sama-sama selesai, kemudian saya memotong-motong anak kambing itu dan memasukkannya ke dalam kuali. Apabila saya hendak pergi memberitahu Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam, isteriku berpesan: Jangan engkau memalukanku kepada Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam dan orang-orang yang bersamanya. Saya kemudiannya menghampiri Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam dan berbisik kepada Baginda: Wahai Rasulullah! Kami telah menyembelih anak kambing kami dan isteriku pula menumbuk satu cupak gandum yang ada pada kami. Karena itu, kami menjemput baginda dan beberapa orang bersamamu. Tiba-tiba Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam berseru: Wahai ahli Khandak! Jabir telah membuat makanan untuk kamu. Maka kamu semua dipersilakan ke rumahnya. Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam kemudian bersabda kepada saya: Jangan engkau turunkan kualimu dan jangan engkau buat roti adonanmu sebelum saya datang. Saya pun datang bersama Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam mendahului orang lain. Saya menemui isteriku. Dia mendapatiku lalu berkata: Ini semua adalah karena kamu, saya berkata bahawa saya telah lakukan semua pesananmu itu. Isteriku mengeluarkan adonan roti tersebut, Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam meludahinya dan mendoakan keberkatannya. Kemudian Baginda menuju ke kuali kami lalu meludahinya dan mendoakan keberkatannya. Setelah itu Baginda bersabda: Sekarang panggillah pembuat roti untuk membantumu dan cedoklah dari kualimu, tapi jangan engkau turunkannya. Ternyata kaum muslimin yang datang adalah sebanyak seribu orang. Saya bersumpah demi Allah, mereka semua dapat memakannya sehingga kenyang dan pulang semuanya. Sementara itu kuali kami masih mendidih seperti sediakala. Demikian juga dengan adonan roti masih tetap seperti asalnya. Sebagaimana kata Ad-Dahhak: Masih tetap seperti asalnya. (Sahih Bukhari, Muslim, kitab Minuman)

No comments:

Post a Comment